Tuesday, May 28, 2013

Hitam 505




      Tanggal 5 Mei 2013 sekali lagi menjadi sejarah hitam buat seluruh rakyat Malaysia yang mengharapkan cebis-cebis harapan perubahan yang akan berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke 13.Ungkapan “inikalilah” yang menjadi fenomena  pembakar semangat semua bangsa Malaysia saban hari semasa kempen Pilihan Raya sebelum ini tidak menjadi kenyataan apabila regim UMNO/BN mengumumkan bahawa mereka kekal membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Kekecewaan terpapar di wajah semua keluarga besar bangsa Malaysia yang mengimpikan perubahan total sebuah Malaysia baru sesudah lebih 50 tahun dalam konkongan parti pemerintah yang sama sejak mengambilalih pemerintahan dari pihak British.Bangsa baru Malaysia  tidak lagi mengenali warna kulit dan ras keturunan untuk sama-sama berganding bahu membina harapan baru Malaysia tetapi apakan daya semangat dan kerja kuat seluruh warga Malaysia ini telah ditidakkan oleh  pengadil yang mengadili proses Pilihan Raya di Malaysia.

Sejak dari awal lagi SPR seperti menjadi pemudah cara kepada UMNO/BN untuk meneruskan legasi pemerintahan mereka,tuduhan ini bukan tuduhan melulu tetapi berdasarkan kronologi  dan kenyataan orang terpenting dalam SPR itu sendiri yang sentiasa tidak bersikap adil kepada semua pihak apabila membuat sesuatu keputusan dan kenyataan.Bermula dengan polemik pertambahan jumlah pengundi secara mendadak dikawasan-kawasan  yang menjadi tumpuan parti pemerintah yang dikuasai parti oposisi sehinggalah dakwaan wujud komplot terancang SPR dan JPN yang  membawa masuk pendatang asing untuk membuat pilihan bagi pihak rakyat Malaysia.Itu belum juga menjawab persoalan Pengerusi dan Timb. Pengerusi SPR adalah ahli parti pemerintah.

Sehingga tiba bila diumumkan parlimen penggal ke 12 dibubarkan oleh PM Najib Razak semua rakyat Malaysia masih berharap dan menanti penambahbaikan SPR,ini kerana sesuatu perlawanan tidak mungkin akan dapat diadili dengan dengan saksama sekiranya pengadil itu sendiri mempunyai sikap bias terhadap pihak yang dia mempunyai kepentingan.Desakan semua pihak terhadap SPR bagai omongan yang tidak berguna tanda semua rakyat Malaysia tidak punyai hak untuk bersuara dan mengemukakan idea pandang mereka.

Pilihan Raya merupakan elemen terpenting dalam pengamalan demokrasi,rakyat Malaysia walaupun kurang senang dengan sikap SPR itu sendiri tetapi Pilihan Raya sahajalah yang dapat memungkinkan perubahan pimpinan  itu berlaku. Rakyat Malaysia tidak lagi bertindak dengan cara yang  diamalkan oleh Negara dunia ketiga yang lain untuk membuat perubahan pemerintahan mereka walaupun Malaysia juga tergolong dalam golongan negara dunia ketiga,tidak ada mana-mana Negara dunia ketiga yang dapat menukar regim lama mereka melalui Pilihan Raya.

Apabila tiba hari yang dinanti oleh semua rakyat Malaysia sama-sama melakukan tanggungjwab mereka kepada Negara tanggal itu juga merupakan detik hitam dan satu pencabulan yang nyata membunuh aspirasi bangsa Malaysia yang bebas jiwanya untuk melakukan perubahan.Pelbagai adegan dan situasi nyata yang memperjelas bagaimana proses Pilihan Raya dikendalikan dengan begitu pincang yang akan menjadi tanda tanya semua pihak.Sehinggalah kemuncak kepada proses pengiraan undian yang boleh memalukan Malaysia bagaima pesta demokrasi dikemuncakkan dengan situasi “blackout”.

Adakah kita perlu menunggu lima tahun lagi untuk kita mengungkapkan ungkapan keramat “IniKalilah”,atau kita sendiri yang mengungkapkan ungkapan ini pada bila-bila masa yang kita mahu?