Monday, February 14, 2011

CANSELOR BARU UNIVERSITI SELANGOR


   Pro-canselor Universiti Industri Selangor Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dipilih menggantikan isteri perdana menteri Rosmah Mansor sebagai canselor baru universiti milik kerajaan negeri itu.Menurut sumber, pelantikannya akan berkuatkuasa pada 21 Februari depan dan beliau dijadual menerima watikah daripada Sultan Selangor pada sebelum 9 Mac ini.

Pengumunan pengganti Rosmah itu sekali gus bakal menghentikan spekulasi penggantinya dan lobi-melobi ke jawatan itu.Beberapa nama yang pernah dicadangkan sebelum ini antaranya Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, bekas timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan tokoh akademik Khoo Khay Kim.

Kekosongan Raja Arshad akan diisi oleh Tan Sri Ismail Adam.

Raja Arshad merupakan pengerusi Maxis Berhad dan anggota lembaga pengarah Sime Darby Berhad.Beliau juga terlibat dalam kerja kemasyarakat apabila menjawat jawatan pengerusi Yayasan Raja Muda selain menjadi anggota Dewan DiRaja Selangor dan majlis penasihat kepada Sultan Selangor.

Berakhirlah sudah pelbagai spekulasi tentang siapakah canselor universiti milik kerajaan selangor ini.
sebelum ini banyak nama-nama tokoh disebut untuk mengisi jawatan yang ditinggalkan oleh Rosmah Mansor,

Sebagai sebahagian daripada warga kampus unisel memanglah kami berbesar hati menerima perlantikan ini sebagai sesuatu yang positif dan sekurang-kurangnya permintaan mahasiswa unisel untuk mencalonkan canselor yang bukan daripada kalangan ahli politik didengar oleh Kerajaan Selangor. Ini adalah salah satu contoh manifestasi  kerajaan yang pragmatik dan responsif.

Moga dengan perlantikan  seorang Tokoh ekonomi ini untuk menerajui kampus ini dapat meningkatakan daya saing UNISEL diperingkat nasional dan global serta menjadikan UNISEL sebagai satu model pusat pengajian tinggi yang berkelas dunia dapat direalisasikan.

Wednesday, February 9, 2011

NOSTALGIA DI HUJUNG SENJA

Kutatap, kujabat, kudakap erat
Tubuh-tubuh berbalut kulit mengeriput
Memutih dari rambut ke janggut
Dapat kurasakan hangatnya setiakawan
Tiga dekad sepakat setekad
Bersama terhumban di padang karang
Tersadai diamuk badai


Ku tatap wajah-wajah teman lama
Ketika mata pudar berkisar mengitar dari meja ke meja
Terasa ada yang tiada
Kutanyakan khaba...r rakan-rakan seangkatan yang tak kelihatan
Si Suto dan Si Noyo, Si Awang dan Si Ujang
Si Dali dan Si Mamat


Katanya
Si Suto hilang tak tahu rimbanya
Si Noyo ghaib entah di mana nisannya


Si Awang sibuk mendulang wang
Mahu jadi jutawan gedongan
Pemilik dagangan bergudang-gudang


Si Mamat tak sempat

Terlalu penat kerja kuat, mahu jadi Yang Berhormat
Sudah empat kali lompat
Belum juga dapat Mana


Si Ujang
Yang dulu memencak-mencak membela keadilan?
Katanya: Si Ujang tak dapat datang
Kini dia berada di seberang
Jalan-jalan cari makan


Bagaimana dengan Si Embong?
Katanya, dia masih berkabung
Menangisi isterinya, Dewi Demokrati
Yang baru mati
Dibelasah hantu pangkah


Apa khabar Si Fatah?
Alhamdulillah, dia tidak berubah
Masih betah berusrah
Pejam dalam al-Fatihah
Celik kembali dengan wa’l-‘asri Mana


Si Dali
Orang kuat yang dulu mendapat pingat
Wira Sakti, Panglima Besi
Katanya, Si Dali uzur lagi
Kencing manis, darah tinggi
Saban minggu ke KBMC


Mana Si Wira?
Aku rindu bicaranya yang selalu menggetar jiwa
Katanya: setelah bersengketa dengan Mamak Bendahara
Si Wira pergi bertapa
di Gua Panjaraga
berguru di Hulu Sungai Bambu
Nanti Wira kan kembali
Dan pasti lebih sakti lagi …..
II

Detik-detik nostalgik
Memecah tawa-tangis printis
Yang lama membeku terbuku
Dalam kelu lidah sejarah


Kutatap wajah-wajah layu
Teman-teman lamaku: mahaguru dan KSU
Pembesar bergelar, figure tersohor


Ingin rasanya aku bertanya
Masihkah kau ingat asal-usulmu?


Anak kampung paling hulu
Merangkak ke gedung ilmu bernama M.U
Diiringi doa orang tua yang bangga
Dibebani harapan warga desa yang sengsara


Mahasiswa pemimpin hari muka
Cendekia dalam pustaka pujangga
Dewasa dalam gelora demo di jalan raya
Akdemia, semangat agama merbah anak desa
Menjadi “ elemen yang sedar dari masyarakat”
Jurubicara umat, penyuara aspirasi rakyat
Kau bangkit bersama mahasiswa menggugat
Pengkhianat dan penjilat
Masih terasa perihnya prasangka, pedihnya telinga
Dituduh penderhaka
Anak muda tak kenang jasa
Mempersenda “Bapak Merdeka”

Peduli apa kata derhaka yang sudah lama hilang bisa
Sejak ternodanya makna
Menjadi senjata penguasa menindas jelata

Membangkang bukan menanggang
Mendebat bukan menjebat 
Ingin rasanya kupinjam suara raksasa
Mendeklarasi derhaka versi kita
Derhaka kita jihad mulia
Dari setia menjadi hamba, biar derhaka demi merdeka
Dari setia seperti Haman, biar derhaka sebagai Musa

Kutatap wajah-wajah istiqamah
Tak tergoyah dek duit berkampit
Tak patah dek kenyit dan gamit si genit

Meski di sini banyak dera dan deritanya

Kita tetap setia
Warga bertaqwa bahagia di bumi derita
Tetapi mewah dengan barakah, meriah dengan ukhuwwah



Dari pita nostalgia memori pagi
Kini kita tiba di senja penuh hiba
Ketika ufuk senja memerah
Tanda mendekatnya saat berpisah
Aku resah dalam gelabah muhasabah
Setitik jasa, selaut dosa


Seakan kulihat malaikat mencatat
Kalimat-kalimat sinis menghiris
Dasar si dungu tak tahu malu
Modal amal sekepal, mengharap untung segunung


Usia senja, menjadi pesara


Bukan masa lega merdeka
Puas melepas, menghempas tugas yang digalas
Ia adalah masa cedera yang cemas
Sisa-sisa nafas di simpangan arah
Husnu’l-khatimah-su’u ‘l-khatimah




Hari kita semakin senja
Segudang agenda tak terlaksana
Mengharap pewaris setia
Penerus cita-cita, penebus kecewa
Tapi, di mana mereka?


Ya Tuhan,
Dengarkan pinta hamba di hujung senja
Seperti dulu Kau perkenan do’a Zakariya
Pengabdi tua meminta putera
Lalu Kau kurniakan Yahya
Sayyida, hasura, nabiyya 


Ya Tuhan,
Berkenan kiranya mencurah kurnia
Seribu Yahya, sepetah Harun, segagah Musa
Menyanggah bedebah media pendusta
Mendaulat agama, memperkasa bangsa

nukilan
Dato Dr. Siddiq Fadzil

Sunday, February 6, 2011

KEBANGKITAN RAKYAT TUNISIA DAN MESIR…..MALAYSIA bila lagi…??????



TUNISIA DAN MESIR

       Situasi politik di timur tengah membuka tirai kalendar 2011 dengan seribu satu makna yang tersurat dan  tersirat.Ini adalalah permulaan lembaran baru situasi politik di rantau itu kebangkitan rakyat Tunisia sehingga berjaya mengguling dan mengusir presidennya zine al-bidine ali sesuatu yang tidak disangkakan oleh sesiapapun. Situasi kebangkitan rakyat Tunisia merebak ke Mesir Sesudah 30 tahun memegang tampuk kuasa Husni Mubarak bagaikan terkesima dengan kebangkitan rakyatnya yang sudah bosan dengan pelbagai masalah dan kebobrokan pemerintahannya yang berpaksikan telunjuk Amerika Syarikat dan merupakan sekutu kuat regim zionis.

Kebangkitan rakyat marhaen di timur tengah merupakan satu lagi contoh kejatuhan satu regim ditangan rakyat. Legasi kebangkitan rakyat ini merupakan semanagat rakyat yang  menjatuhkan regim diktator sebelum ini seperti  Shah di Iran dan Marcos di Filipina.












MALAYSIA

Sesudah lebih 50 tahun memegang tampuk kuasa regim di Malaysia juga  tidak mustahil menerima nasib serupa di Mesir dan Tunisia.Agak sinis juga apabila Mahathir Mohamad dipetik dalam blognya berkata presiden Mubarak harus berundur untuk memulihkan demokrasi di Mesir.Tetapi apakah bekas diktator itu sudah lupa bahawa teriakan rakyat mennyuruhnya meletak jawatan pada lewat 90an dulu tetapi melayu tidak pernah lupa tentang tragedi hitam demokrasi Malaysia pada ketika itu.Adakah layak pemimpin seperti itu memberi komen.



Sama seperti di Mesir dan Tunisia rakyat juga sudah muak dengan retorika pemimpin yang menjanjikan pelbagai perubahan dan ingin membela nasib rakyat.Tetapi apa yang dapat dilihat para pemimpin negara terus dengan sikap memperkayakan diri dan keluarga mereka termasuk isteri yang bersikap lebih sudu dari kuah.Seperti kata Dato’ Seri Anwar Ibrahim kejatuhan Presiden Tunisia juga disebabkan sikap isterinya  yang gilakan kemewahan melampau.

Dengan segala sagala sekatan yang dikenakan terhadap rakyat contohnya seperti ISA dan isu yang lebih dekat dengan mahasiswa iaitu AUKU yang menghalang  kebebasan minda mahasiswa untuk menjadi jurubicara masyarakat. Dengan regim yang ada sekarang menggunakan segala instrumen menekan kebangkitan rakyat tetapi ingat kesabaran rakyat ada had dan dan batasnya jangan sampai rakyat  keluar ke jalan raya menjatuhkan secara memalukan seperti Tunisia dan Mesir.Ini bukan satu ugutan tetapi satu peringatan yang jelas.Kita masih lagi menghormati  sistem demokrasi negara ini tetapi apabila demokrasi sudah dicabuli diperkudakan untuk meneruskan regim yang ada sekarang apa yang hendak rakyat Malaysia tunggu lagi.